Ekonomi Membimbangkan, Rakyat Cemas
Tarikh : Tuesday, June 20 @ 05:29:52 MYT
Topik : Artikel




Ada dua perkara yang tersirat daripada tulisan terbaru Nur Jazlan di dalam blog peribadnya. Pertama, kewujudan silent protest ahli UMNO terhadap Najib dan UMNO dalam PRU14. Kedua,kedudukan ekonomi negara yang masih belum pulih; kontradik dengan dakwaan kerajaan. Kalau benar seperti apa yang dibayangkan oleh Ahli Parlimen Pulai itu, apakah sikap rakyat dalam menentukan kepimpinan negara? 



Pastinya, sebahagian akan kekal bersama BN kerana dedak segera setiap kali piliharaya. Manakala sebahagian lagi akan beralih kepada PAS/GS dan Pakatan Harapan (PH). Situasi ini akan menyukarkan  setiap blok mendapat simple majority. Fokus tulisan ini bukan kepada bagaimana nanti kerajaan terbentuk. Penulis hanya ingin membuka minda rakyat untuk melihat siapa sewajarnya dipercayai untuk mengatasi kemelut ekonomi yang melanda rakyat dan negara.

Bagi penulis, kemelut ekonomi ini hanya dapat dipulihkan dengan berakhirnya hegemoni BN. Negara memerlukan watak dan kepimpinan baru.  Seperti kata Nur Jazlan, kemelut 1MDB masih belum selesai, kerajaan BN terpalit pula dengan isu saham FGV yang melibatkan orang Melayu, khususnya para peneroka. Apakah ketirisan ini terpaksa akan ditampung oleh Najib melalui kenaikan GST? Atau apakah tergamak kerajaan Najib melakukan sesuatu yang lebih nekad sebaik sahaja diberi kuasa selepas PRU14 nanti?

Persoalannya, apakah benar PH alternatif terbaiknya? Maklumlah, ada orang yang berfikiran sekular berpandangan tokoh-tokoh ekonomi yang lincah dalam PH mampu mengubah nasib mereka. Mereka mudah terpesona dengan manusia yang mampu beretorik dengan teori-teori ekonomi. Kalau nak ikut pandai bercakap, BN sendiri dipenuhi oleh pakar-pakar ekonomi. Tetapi apa yang berlaku ialah rasuah, penyelewengan, kronisme, nepotisme dan tembolok sendiri. Justeru, janganlah mudah terperangkap dengan manusia petah bercakap seolah-olah menjuarai isu rakyat.

Alternatif sebenarnya ialah PAS. Hujahnya ialah rekod pentadbiran kerajaan PAS baik di Kelantan, Terengganu dan Kedah. Lebai-lebai PAS-lah menyelamatkan ekonomi tanpa termonologi dan teori ekonomi yang tinggi-tinggi. Siang berjubah malam berkain pelekat. Namun, ekonomi negeri diurus dengan cemerlang.

Buktinya, Tuan Guru Nik Abdul Aziz memimpin Kelantan tanpa rasuah dan penyeleweng dalam tempoh yang yang cukup panjang. Tuan Guru Haji Hadi masih mampu mengekalkan penghapusan cukai pintu, tol dan sebagainya meskipun pendapatan dominan, royalti minyak dikhianati. Ustaz Azizan Abdul Razak dapat menguruskan ekonomi Kedah dengan baik walaupun kewangan kerajaan negeri sebelum beliau, dikatakan nazak; hanya dapat bertahan dengan bantuan kerajaan Pusat. Ketiga-tiga kerajaan ini bersih. Semua ini adalah bukti; bukan persepsi.

Jelas kecemerlang ekonomi bukan kerana tali leher dan teori dari buku kapitalis. Hanya manusia yang berfikiran sekular tertipu dengan kepalsuan diri. Nasib rakyat mampu digalas oleh pemimpin-pemimpin yang tahu kepimpinan adalah suatu amanah dari Allah. Mereka ini bukan semata-mata bertanggungjawab terhadap manusia yang mengundinya, tetapi yang lebih besar dari itu ialah mereka ada keinsafan tanggungjawab terhadap amanah Allah.

Justeru, himpitan hidup rakyat dan kejatuhan ekonomi negara hanya dapat diselamatkan oleh PAS, insya Allah. Ini bukan isu isi bakul angkat sendiri. Ini adalah satu pandangan yang ikhlas berdasarkan track recocd dan senario parti-parti politik dalam negara masa kini. Rakyat perlu berfikir secara jujur untuk menemukan jawapannya.





Diterbitkan oleh :
Ikatan Blogger Terengganu (IBT)
http://www.tranungkite.net/
Email : [email protected] atau [email protected]
Pandangan dalam laman ini tidak semestinya menunjukkan sikap IBT
(Ikatan Blogger Terengganu)
This article comes from TranungKite Online (TKO)
http://www.tranungkite.net/x3
The URL for this story is:
http://www.tranungkite.net/x3/modules.php?name=News&file=article&sid=35496