Pandikar Amin Sedia Bertanding Dalam PRU-14
Tarikh : Friday, April 21 @ 12:35:33 MYT
Topik : Berita




KOTA KINABALU - Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia membayangkan kesediaan untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 yang akan datang.

Menurut laporan media tempatan, bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata, beliau mempunyai pengalaman yang cukup untuk kembali dalam arena politik selepas sembilan tahun memimpin Dewan Rakyat.

Kata Pandikar, 64, persoalan sama ada beliau bakal bertanding di kerusi peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Parlimen bagaimanapun terletak kepada pucuk pimpinan parti untuk menentukan kedudukannya.

“Saya masih lagi berasa rindu kepada arena politik. Saya bukanlah usia masih muda tetapi tidak terlalu tua untuk bersara langsung, saya malahan bersedia daripada segi mental dan fizikal untuk jadi calon.

“Selama kira-kira sembilan tahun berada di Dewan Rakyat, ia mengajar saya banyak pengalaman menarik, hujah-hujah yang tiada fakta serta urusan pentadbiran ada dalam pengalaman saya,” kata beliau.

Pandikar yang juga bekas Speaker DUN Sabah dari 1986 hingga 1988 berkata demikian kepada pemberita selepas hadir pada pelancaran Program Jelajah Pertubuhan Bajau Sabah Bersatu (USBO) di sini hari ini.

Beliau yang juga Presiden USBO mengetuai barisan pemimpin USBO negeri itu dalam rombongan sebanyak 115 buah kenderaan menjelajah ke seluruh Sabah bagi menjelaskan tentang isu-isu semasa negara.

Untuk rekod, Pandikar menceburi bidang politik pada 1982 apabila bertanding bagi kawasan Parlimen Kota Belud, tetapi tewas . Pada tahun sama beliau bertanding pula pada pilihan raya kecil kawasan DUN Usukan.

Beliau berjaya memenangi kerusi itu atas tiket USNO. Parti yang ditubuhkan pada 1961 itu kemudian bergabung dengan Parti Berjaya sebelum dibubarkan pada 1991 untuk ‘membawa masuk’ UMNO ke Sabah.

Pandikar pernah menjadi Ketua UMNO Bahagian Kota Marudu tetapi melepaskan jawatan setelah dipilih sebagai Speaker Dewan Rakyat ke-8 pada 2008 menggantikan Tan Sri Ramli Ngah Talib. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA





Diterbitkan oleh :
Ikatan Blogger Terengganu (IBT)
http://www.tranungkite.net/
Email : [email protected] atau [email protected]
Pandangan dalam laman ini tidak semestinya menunjukkan sikap IBT
(Ikatan Blogger Terengganu)
This article comes from TranungKite Online (TKO)
http://www.tranungkite.net/v12
The URL for this story is:
http://www.tranungkite.net/v12/modules.php?name=News&file=article&sid=34637