Budaya Politik Matang Sejahtera
Tarikh : Thursday, April 20 @ 21:12:04 MYT
Topik : Artikel




Anak muda bertanya saya, mengapa PAS tidak lagi garang menentang UMNO? Mengapa PAN lebih menyerlah menyerang UMNO bersama Pakatan Harapan berbanding PAS? Adakah benar PAS akan bersama UMNO pada hujungnya nanti?

Ini soalan biasa yang disoal anak muda apabila saya bersua dengan mereka di mana-mana pertemuan secara berkebetulan. Biasanya dalam musafir saya keliling negara atau ulang alik saya antara Kota Bharu dan Kuala Lumpur.

Biasanya saya akan memulakan jawaban dengan kembali bertanya kepada anak muda itu, "Adakah rakyat Malaysia hari ini belum tahu kejahatan dan keburukan UMNO? Kamu sokong UMNO-kah?" Spontan anak muda itu menjawab, "Eh, mana boleh. Pilihan raya nanti, tahulah kami kerjakan UMNO."

Saya berkata, "Jika begitu, buat apa PAS bersungguh-sungguh berceramah sana sini mengutuk UMNO? Kan semua orang dah pandai mengutuk UMNO. Semua dah boleh syarah dan berhujah menolak UMNO? Mungkin yang masih berbaki sokong UMNO hanyalah yang perlu diperiksa telinganya kat klinik," gurau saya.

Anak muda termenung, "Habis tu, apakah yang PAS lakukan sekarang? Bukankah mesra dan berbaik dengan UMNO itu dilihat memanjangkan umur UMNO?"

Saya menjawab, "Aik, terbalik tu. Patutnya kamu kata, itu akan memendekkan umur PAS-lah. Kan semua dah setuju benci dan tolak UMNO. Bila PAS mesra UMNO, nahaslah PAS. Kan?"

Anak muda tersengih. Terasa betulnya hujah saya tu. Mungkin dia masih mahu bertanya, jadi apasal PAS cari nahas?

Saya terus pergi kepada soalan asal anak muda itu yang masih saya gantung jawabannya. Saya fikir dia sudah selesa untuk mendengar daripada jawaban saya dengan baik. Saya dekatkan hatinya kepada saya sesudah dia dekatkan tubuhnya kepada saya dengan soalan-soalan di atas. Tampak benar anak muda ini sudah lama mencari-cari jawaban yang boleh menenangkan hatinya. PAS ini, walau dimarah-marahkan, tapi rindu padanya tak hilang-hilang.

Saya mulakan, "Kita dekat dengan UMNO hari ini kerana dulu UMNO jauh dari PAS. Orang berkuasa dan kaya biasalah sombong dan enggan menyapa apatah mendengar daripada orang miskin. PAS dulu lemah dan miskin. Kini tidak lagi. Ada kuasa dan kaya sokongan. Adakah apabila UMNO datang kepada PAS, PAS kena lari?"

Saya tambah, "Masanya PAS bercakap kepada UMNO secara berdepan, bukan lagi melaung dari jauh dan kejauhan. Jauh kita memanggil dan memekik. Dekat kita bercakap dan berbual bukan? Beri jawaban, mengapa UMNO datang kepada PAS? Beri jawaban, mengapa UMNO tidak pergi kepada PAN atau PKR atau parti-parti lain yang sedang beraksi hari ini?" Saya kejutkan anak muda yang dah mula keasyikan itu dengan soalan terjah.

Dia terkejut tapi terus menjawab mudah, "Ya, kenapa ya ustaz? Dia nak minta bantuan PAS ke? Entah-entah, dia nak beli PAS dengan 90 juta haha," sambil ketawa cuba kenakan saya dengan gurauan yang buatkan saya turut ketawa.

Saya jawab, "Ya, orang sakit harus berubat dan kena pohon bantuan. Orang sakit kena membeli ubat. Kena bayar demi kesembuhan. Tapi bukan 90 juta. Tak cukup. UMNO kena bayar berbilion ringgit kerana UMNO telah habiskan berpuluh bilion wang rakyat." Saya jamu anak muda itu dengan kek bilion pula. Segar dia dengar 2.6B. Kemudian saya panjangkan syarahan saya tanpa menoleh lagi.

UMNO datang kepada PAS kerana UMNO telah lama tahu bahawa PAS ada ubat dan penawar. UMNO tidak pergi kepada PAN dan yang lain kerana mereka tiada ubat. PAN itu sendiri adalah penyakit, bukan ubat. Orang sakit tak akan minta bantuan daripada orang sakit juga.

UMNO dan PAS berbalah sejak lama. Dari anak beranak di dalam rumah sehinggalah sepupu sepapai di parlimen. PAS mana tak kenal UMNO dan UMNO mana tak kenal PAS. Keajaiban di sebalik perbalahan ialah saling mengenal kelebihan dan kekurangan musuh masing-masing. Dan tidak pelik, dalam berhadapan musuh ketiga yang memiliki kemudaratan bersama, mereka meredakan permusuhan dan menumpu kepada musuh baru. Manusia tidak mampu memecahkan sunnah kehidupan ciptaan Allah ini.

PAS jauh daripada DAP. Tetapi mereka saling mendekatkan diri demi berhadapan UMNO dalam PRU13. Apabila dekat, mereka saling cuba mengenal diri dan berbaik. Akhirnya mereka berpisah kerana pengenalan indah di ruang tamu berakhir dengan pengenalan buruk di hujung dapur.

UMNO tahu dia sakit. Rakyat tahu UMNO sakit. PAS lagi tahu. UMNO datang mencari bomoh baru. Dulu UMNO suka berjampi dengan bomoh-bomoh memuja jin dengan asap dan kemenyan. Sampai bersepah tulang temulang dikerat bomoh. Itu cerita lama UMNO. Rasanya dah berakhir dah zaman kebodohan terlajak itu.

Apa yang PAS lakukan? Saya jelaskan kepada anak muda itu. Ada dua yang PAS lakukan hari ini. Dua ini adalah keutamaan yang dilaksanakan oleh PAS. Ia mendahului lantang suara dan lancang kecaman yang didahulukan oleh PAN dan DAP.

Pertama, menasihati UMNO. Ia keaslian inti al Quran. Ia tugas para anbiya' dan tugas para pejuang dan muslihin. Kalau kita sayang, Allah lebih sayang. Kalau kita benci, Allah lebih benci. Jangan sesekali kita sayang ketika Allah benci atau kita benci saat Allah menyayangi. PAS kekal setia bersama Allah dan Rasul-Nya, mentaati dan menuruti segala isi dan panduan al Quran.

Yang akan menghukum UMNO adalah rakyat, bukan PAS. Semakin UMNO memburuk aksinya memerintah negara, semakin dekat hukuman rakyat ke atasnya. PAS menasihati UMNO agar berubah dan jangan berubah kecuali kepada Islam. Jika UMNO memilih ubat selain Islam, maka datang UMNO kepada PAS adalah sia-sia. Pergilah kepada farmasi selain PAS. Ubat Islam tiada harganya. Harganya hanyalah pada menggunakannya dengan sebaik-baiknya.

Kedua, membina alternatif dan penyelesaian kepada rakyat. PAS tidak perlu melaung kepada rakyat. Rakyat sudah bersedia mendengar daripada PAS. PAS dalam ceramah, dialog, wacana, pertemuan dan pelbagai medium lagi untuk mendekati rakyat datang menerangkan penyelesaian Islam bagi membina negara berjaya dan sejahtera.

PAS mendekati rakyat dengan Budaya Politik Matang Dan Sejahtera (BPMS). Ia menawarkan sebuah kerajaan teknokrat yang sifatnya menginklusifkan pembinaan negara melalui gandingan kepakaran semua pihak dan rakyat yang bersama menjunjung kedaulatan negara. Ia bukan membolot kekuasaan buat kelompok sendiri seperti amalan BN selama ini.

PAS mengetengahkan penyelesaian sebenar penuh berkat terhadap isu-isu yang membelenggu rakyat daripada isu kerapuhan binaan rumah tangga bahagia,
gejala sosial anak muda, pengangguran belia, pemilikan rumah, kenaikan harga barang dan inflasi sehinggalah isu-isu yang menjadi faktor utama kerosakan negara seperti rasuah, salah guna kuasa, pilih kasih, kekebalan penguasa, pembaziran, pemborosan dan sebagainya.

Di antara menasihati UMNO dan mengemukakan alternatif dengan PAS menggantikan UMNO adalah dua perkara yang tidak bertentangan. Ia adalah pilihan yang sejahtera dan menyatukan rakyat dengan politik harmoni dan sejahtera. Rakyat berhak menentukan, UMNO atau PAS sebagai pilihan di hati. PAS sentiasa di landasan istiqamah membimbing rakyat menuju jaya.

~ YB Ustaz Nik Mohamad Abduh Bin Nik Abdul Aziz
(Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia)





Diterbitkan oleh :
Ikatan Blogger Terengganu (IBT)
http://www.tranungkite.net/
Email : [email protected] atau [email protected]
Pandangan dalam laman ini tidak semestinya menunjukkan sikap IBT
(Ikatan Blogger Terengganu)
This article comes from TranungKite Online (TKO)
http://www.tranungkite.net/x3
The URL for this story is:
http://www.tranungkite.net/x3/modules.php?name=News&file=article&sid=34628