Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Bailout Renong: Akhirnya Mahathir akui syarikat2 kroni punca ekonomi merundum

Assalamualaikum wm wbt,

Bailout Renong: Akhirnya Mahathir akui syarikat2 kroni punca ekonomi merundum

Setelah lama menuding jari ke arah Soros dan lain-lain pihak, akhirnya Dr Mahathir dengan sendiri secara tidak langsung mengakui bahawa dasar kronisma adalah punca utama berlakunya kemerosotan ekonomi yang bermula sejak Julai 1997 dan berlarutan hingga ke hari ini. Kata perpatah Inggeris “truth will prevail”, iaitu kebenaran itu akhirnya akan menjadi nyata jua.

Pada minggu lepas pihak kerajaan telah mengumumkan hasrat untuk mengambil alih (atau bailout) satu lagi syarikat kroni, iaitu Renong Bhd yang tidak terbayar hutang sebanyak RM13 billion. Renong ada hubungkait yang rapat dengan UMNO malah dikatakan sebagai 'flag ship' UMNO dalam dunia perniagaan. Dalam menjelaskan mengapa Renong perlu diselamatkan, Dr Mahathir telah mengakui bahawa salah urus dan hutang Renong yang berbillion itu telah mengheret Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) turun dengan teruknya. Hutang-hutang syarikat-syarikat kroni seperti Renong, Berjaya Group, Land & General, YTL, Maxis dan lain-lain yang berbillion ringgit dan tidak mungkin terbayar tanpa bailout oleh kerajaan kini diakui sebagai menakutkan pelabur asing untuk datang melabur.

Tidak dinafikan bahawa George Soros dan lain-lain pelabur-pelabur asing turut mencetuskan krisis kewangan pada Julai 1977. Tetapi sebenarnya George Soros dan pelabur-pelabur asing telah cepat-cepat lari keluar dari BSKL kerana mereka melihat kerajaan Dr Mahathir telah membangunkan ‘bubble economy’ yang akan meletup pecah pada bila-bila masanya. Rakyat dilalaikan dengan kemewahan yang palsu yang sebenarnya berteraskan pinjaman wang secara sewenang-wenangnya dari luar negeri (yang menurut sesetengah pihak berjumlah US$360 billion, iaitu hampir satu trillion ringgit). Kerajaan dan syarikat kroni-kroni telah memboroskan duit pinjaman tersebut dengan melaksanakan projek-projek mega yang diinginkan sangat oleh Dr Mahathir, seperti pembinaan KLCC Twin Towers, yang menelan berbillion ringgit tetapi tidak ada pulangan ekonomi, malah membebankan negara dengan hutang yang terlalu banyak.

Soros dan pelabur-pelabur asing juga melihat bahawa syarikat-syarikat kepunyaan kroni-kroni regu Mahathir- Daim kesemuanya telah menyalahgunakan wang pinjaman dari luar negara hampir satu trillion ringgit itu yang dijamin oleh bank-bank tempatan. Oleh kerana dana asing ini disalah urus (termasuk dibawa keluar dan dimasukkan kedalam akaun-akaun persendirian di luar negeri) maka bukan sahaja syarikat-syarikat kroni menuju ke arah bankruptcy, tetapi bank-bank tempatan yang menjadi penjamin ikut bersama lingkup. Dan duit rakyat yang digunakan dari sumber-sumber seperti Petronas, EPF dan Tabung Haji (dan juga dari budget kerajaan sendiri) untuk membailout syarikat-syarikat kroni tersebut tidak dimenafaatkan dengan betul tetapi dilarikan juga sebahagiannya ke akaun-akaun bank persendirian di negara-negara Barat.

Soros dan pelabur-pelabur asing merasakan bahang ekonomi Malaysia sudah panas (“overheating) sejak pertengahan 1996 lagi. Dan keadaan telah bertambah runcing apabila Anwar Ibrahim yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan telah mula mengorak langkah untuk menyekat regu Mahathir-Daim dan kroni-kroni dari meneruskan merompak wang dan hartanah negara sewenang-wenangnya atas nama membangun ke arah pencapaian Wawasan 2020.

Keberanian Anwar Ibrahim membentang pindaan kepada Akta Rasuah semasa beliau memangku jawatan Perdana Menteri telah dibaca dengan tepatnya oleh George Soros dan pelabur-pelabur asing sebagai bermulanya langkah oleh Anwar Ibrahim untuk membersihkan ekonomi dari gejala penyelewengan, pecah amanah, rasuah, nepotisma dan kronisma yang sudah menjadi ‘trademark’ pemerintahan Dr Mahathir. Langkah Anwar Ibrahim itu semestinya akan berkesudahan dengan konflik antara beliau dengan regu Mahathir-Daim. (Anwar Ibrahim seterusnya dikhianati, diaibkan dengan tuduhan yang keji tanpa bukti dan dihukum penjara selama 14 tahun oleh mahkamah yang corrupt dan mengikut telunjuk Dr Mahathir).

Maka George Soros dan pelabur-pelabur asing telah cepat-cepat lari keluar dari BSKL pada Julai 1997 apabila keadaan kelihatan terlalu panas. Tidak boleh disalahkan mereka. Kalau faktor Soros tidak wujud sekali pun, ekonomi Malaysia pasti akan merundum akibat dari projek-projek mega Dr Mahathir dan juga budaya pecah amanah, rasuah, salah urus wang, dasar membolot kekayaan, nepotisma dan kronisma yang sudah menjadi ‘darah daging’ pemerintahan Dr Mahathir dan UMNO-BN.

Pada 23 Julai, 2001 telah diumumkan bahawa kerajaan Malaysia akan membeli sepenuhnya United Engineers Malaysia Bhd (UEM) yang hampir bankrupt itu dengan harga RM3.67 billion. UEM adalah anak syarikat kepada Renong Bhd, dan keputusan kerajaan untuk menguasai sepenuhnya UEM diakui sebagai langkah permulaan untuk seterusnya mengambil alih Renong Bhd yang juga hampir bankrupt dengan hutang tidak terbayar sebanyak RM13 billion itu (billion dan bukannya juta).

Bailout UEM oleh kerajaan sebenarnya adalah satu lagi pengkhianatan wang rakyat oleh rejim Dr Mahathir. Menurut sesetengah orang Petronas, kononnya dua tiga tahun dahulu Dr Mahathir telah mengarahkan Petronas untuk menghulur beberapa billion ringgit ‘wang ihsan’ (kononnya berjumlah RM17 billion) untuk membantu UEM dan anak syarikatnya PLUS. Wang tersebut diberi oleh Petronas secara ihsan dengan tidak perlu dibayar balik untuk membolehkan UEM dan PLUS menjelaskan pinjaman dari dalam dan luar negeri yang dipinjam untuk membina lebuhraya Utara-Selatan dan lain-lain lebuhraya. Kalau betul dakwaan ini maka timbul pertanyaan ke manakah perginya ‘wang ihsan’ yang berbillion ringgit yang diberi oleh Petronas itu. (Ke dalam saku orang-orang UMNO atau akaun-akaun bank mereka di luar negeri?). Dan kemana pula perginya duit bayaran tol yang berjuta-juta dipungut setiap hari. Mengapa UEM masih lagi perlu dibailout?

Kalau betul sejumlah RM17 billion ‘wang ihsan’ diberi oleh Petronas kepada UEM dan PLUS maka timbul lagi pertanyaan - kenapa bayaran tol tidak diturunkan. Bukankah ‘wang ihsan’ Petronas itu duit rakyat. Dan bukankah ianya secara implikasi bermakna Lebuhraya Utara-Selatan dan lain-lain lebuhraya sudah menjadi milik rakyat dan PLUS hanya mengurusnya bagi pihak rakyat. Maka kadar tol sepatutnya dikurangkan dan bukannya dinaikkan yang telah membebankan rakyat.

Pada hari isnin 23 Julai, 2001 Dr Mahathir telah hadhir sendiri di Parlimen untuk memberi jawapan kepada pertanyaan pembangkang mengenai bailout UEM dan Renong. Dr Mahathir menafikan ianya suatu bailout atau pun berunsur politik wang, mahu pun rasuah.

Menurut Dr Mahathir keputusan untuk membailout Renong dan UEM adalah untuk menyelamatkan pekerja-pekerja dan bukan ‘towkay-towkay’. Jawapan ini sangat tidak memuaskan. Kalau hendak menyelamatkan pekerja-pekerja mengapa kerajaan Dr Mahathir tidak turut berusaha untuk menyelamatkan lebih kurang 30,000 pekerja-pekerja di sektor perbankan yang bakal diberhentikan kerja atas alasan mereka jatuh ‘redundant’ ekoran pergabungan bank-bank? Mengapa wujud ‘double standard’ ini? Tolong jawab wahai Mahathir.

Menurut sesetengah pihak, sebenarnya bank-bank yang telah dan akan digabung itu lebih dari berupaya dan mampu untuk mengekalkan kesemua pekerja-pekerja yang sudah jatuh ‘redundant’ itu. Memandangkan bank-bank berkemampuan dan keadaan kemelesetan ekonomi akan menyulitkan pekerja-pekerja yang hendak dibuang itu untuk mendapat perkerjaan lain, maka sepatutnya 'downsizing exercise’ atau mengurangkan tenaga kerja bank itu tidak diteruskan. Tetapi pemegang-pemegang saham telah menuntut diambil kesempatan dari pergabungan itu untuk membuang pekerja-pekerja bank untuk memastikan keuntungan dividen yang banyak.

Tatkala hendak menyelamatkan syarikat-syarikat kroni seperti Renong, pandai pulak Dr Mahathir berhelah kononnya bailout tersebut adalah untuk menyelamatkan pekerja-pekerja. Tetapi bila lebihkurang 30,000 pekerja-pekerja bank akan dibuang kerja, tidak pula Dr Mahathir gunakan lojik yang sama untuk menyelamatkan mereka. Malah Dr Mahathir dan UMNO-BN diketahui telah menyebelahi pihak pemegang-pemegang saham bank.

Seperti yang disebutkan diatas, Dr Mahathir telah hadhir sendiri di Parlimen. Tindakan Dr Mahathir itu agak luar biasa kerana beliau jarang hadhir di Dewan Rakyat bagi sesi jawab lisan. Lazimnya beliau akan menyuruh Pak Lah atau salah seorang Timbalan Menteri menjawab bagi pihak beliau. Memandangkan sudah begitu lama beliau tidak menjawab sendiri pertanyaan jawab lisan di Parlimen, maka ada yang terfikir mungkin Dr Mahathir ‘buang tabiat’.

Dan jawapan-jawapan beliau terutamanya mengenai gejala politik wang dan bailout syarikat Renong begitu melalut dan macam budak-budak. Dr Mahathir lebih memesong kepada tuduhan bahawa PAS merasuahkan syurga di akhirat nanti. Balik-balik jawapan-jawapan Dr Mahathir memesong kepada ‘rasuah syurga’ tersebut. Memang betul kata salah seorang Ahli Parlimen PAS bahawa Dr Mahathir melalut….dan mungkin juga buang tabiat??? Allahu’alam.

Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar!

Tarabulsi

3 Jamadilawal, 1422
(24 Julai, 2001)






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 25 Julai 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : [email protected]