Penjagaan kesihatan semasa hamil

MENGAMALKAN cara pemakanan yang sihat beberapa bulan sebelum hamil berupaya membantu ibu-ibu dan bayi dalam kandungan mendapat khasiat secukupnya.

Wanita hamil memerlukan nutrien yang mencukupi bagi memastikan kesihatan bayi dalam kandungan tidak terjejas.

Adalah amat penting bagi wanita hamil mengambil makanan yang kaya dengan kalsium dan folate pada setiap hari. Folate adalah sejenis vitamin B.

Pengambilan kalsium oleh ibu-ibu dapat membantu bayi dalam kandungan menerima bekalan kalsium secara seimbang.

Sekiranya tubuh wanita terbabit tidak mengandungi kalsium yang mencukupi bayi yang berada dalam kandungan akan mengambil kesemua kandungan zat tersebut.

Jika keadaan ini berterusan wanita itu akan mudah terdedah kepada risiko penyakit osteoporosis apabila usianya mencecah 40 tahun ke atas

Selain kalsium dan folate, wanita yang merancang atau sedang hamil juga memerlukan zat besi, vitamin B6 dan zink.

Katanya, zat besi membantu menambahkan sel darah merah dan berupaya mengelakkan wanita hamil daripada cepat letih atau kelihatan pucat.

Wanita mengandung juga memerlukan Asid Lemak Perlu (EFA) bagi menyokong pertumbuhan bayi dalam kandungan.

EFA tambahan akan disalurkan melalui plasenta terus kepada bayi kerana ia berupaya membantu perkembangan otak bayi

Keperluan folate semasa mengandung ialah sebanyak 50 peratus lebih banyak berbanding semasa seseorang wanita tidak hamil.

Keperluan folate akan bertambah secara mendadak semasa mengandung kerana ia mempunyai fungsi khusus dalam pembentukan sel-sel darah merah.

Malah bagi wanita yang kerap hamil, folate amat diperlukan dalam tubuh. Kekurangan folate akan menyebabkan ibu yang mengandung sering letih dan terdedah kepada risiko anemia.

Ibu yang mengalami masalah anemia berisiko tinggi melahirkan bayi yang kurang berat badan dan mudah terdedah kepada kemungkinan keguguran.

Selain masalah tersebut, bayi yang dilahirkan juga berisiko tinggi memperoleh kecacatan saluran saraf (Neural Tube Defects - NTD).

Kecacatan saluran saraf merupakan masalah kecacatan sejak lahir yang serius dan ia berlaku pada otak atau saraf tunjang.

Kecacatan saluran saraf seperti kecacatan otak boleh menyebabkan kematian bayi atau masalah ketidakupayaan yang serius.

Kecacatan otak berpunca daripada kegagalan penutupan selaput otak semasa peringkat awal perkembangan embrio bayi.

Oleh kerana selaput otak terbentuk semasa peringkat awal kehamilan, masalah kecacatan pada bayi kemungkinan besar boleh berlaku sebelum wanita terbabit mengetahui dirinya telah mengandung.

Bagi mengelakkan masalah NTD wanita yang berhasrat merancang kehamilan dinasihatkan mengambil tambahan 400ug folate sehari kerana ia boleh membantu mengurangkan risiko kecacatan otak pada bayi.

Berdasarkan kajian yang dilakukan di Amerika Syarikat, bagi setiap kelahiran pertama terdapat seorang daripada 1,000 bayi (1:1,000) di dunia mengalami masalah NTD

Makanan untuk wanita hamil

Ibu-ibu mengandung digalakkan kerap mengambil sayur-sayuran dan buah-buahan kerana pada peringkat akhir kehamilan, mereka biasanya akan mengalami masalah sembelit.

Buah-buahan dan sayur-sayuran dapat membekalkan gentian untuk mencegah masalah sembelit.

Wanita hamil juga digalakkan minum enam hingga lapan gelas sehari air kerana ia dapat membantu masalah yang sama daripada berlaku.

Kombinasi makanan harian untuk wanita hamil berdasarkan piramid makanan adalah seperti berikut:

- Nasi, mi, roti gandum dan bijirin (8 hingga 12 hidangan)
- Buah-buahan dan sayur-sayuran (3 hingga 5 hidangan)
- Ikan, daging ayam/itik, daging lembu dan kekacang (2 hingga 3 hidangan)
- Susu dan hasil tenusu (1 hingga 2 hidangan)
- Lemak, minyak, gula dan garam (jumlah yang kecil)
- Banyakkan minum air (sekurang-kurangnya 6 hingga 8 gelas sehari) terutamanya air biasa atau jus buah dan sayur segar.

Wanita hamil perlu menjaga pemakanan mereka kerana ia penting untuk penambahan berat badan semasa mengandung. Pertambahan berat badan yang sesuai penting untuk pertumbuhan dan perkembangan fetus.

Purata pertambahan berat badan yang disyorkan oleh doktor ialah 10kg hingga 15kg.

Tempoh kehamilan bukan satu jangka waktu yang sesuai untuk mengamalkan diet kerana tindakan tersebut akan memberi kesan buruk kepada bayi dan juga wanita hamil.

Bahaya ketika mengandung

- Pengambilan alkohol berlebihan akan menyebabkan bayi yang dilahirkan mengalami kecacatan mental dan sistem saraf
- Merokok boleh menyebabkan kelahiran anak tidak cukup bulan, kurang berat badan, kejadian pembentukan fetus tidak normal, keguguran dan kematian mengejut bayi. Masalah ini bukan sahaja dikaitkan dengan ibu yang merokok tetapi juga kehadiran perokok lain dalam sesebuah keluarga
- Pengambilan ubat tanpa preskripsi boleh mendatangkan kesan buruk ke atas fetus.
- Kafein terdapat dalam teh, koko, kopi, coklat dan makanan ringan. Jika diambil berlebihan, ia boleh mendatangkan masalah fetus tidak normal atau kelahiran yang kurang berat
- Pemanis tiruan. Pengambilan sakarin tidak disyorkan semasa mengandung. Aspartam mungkin boleh diambil tetapi hanya dalam kuantiti yang sederhana
- Jangan mengambil makanan yang tidak bersih.

Wanita hamil yang berhasrat untuk mengambil ubat-ubatan tradisional dinasihatkan supaya mendapatkan panduan daripada doktor terlebih dahulu.

Pemeriksaan doktor mengikut tempoh kehamilan perlu dilakukan bagi memastikan kandungan tidak bermasalah.

Wanita hamil dinasihatkan supaya melakukan senaman bagi menguatkan belakang badan, bahagian pelvis, otot perut dan buah dada.

Elakkan daripada menggunakan lif atau eskalator sebaliknya menggunakan tangga tetapi ia perlulah mengikut kemampuan diri.

Pengambilan susu yang membekalkan folate tambahan, zat besi dan keperluan kalsium seharian. Pengambilan dua gelas susu sehari bagus untuk ibu mengandung.


.......................................................
5 Mei 2002




Arkib Sudut Kesihatan