Tranung Kite dot net

SUMBANGAN MEMBANTU LAMAN INI
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696
Nama Pemegangan : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun

TATI lahir pekerja mahir pembuatan acuan dan lekapan

SALAH satu program yang ditawarkan TATI adalah Diploma Manufacturing Engineering (Tool and Die Making) atau dalam bahasa Melayu Diploma Pembuatan Alatan dan Acuan merupakan salah satu daripada empat program Diploma Kemahiran yang ditawarkan di TATI untuk pelajar lepasan SPM atau setaraf. Program ini dijalankan selama tiga tahun di mana satu semester pelajar ini akan menjalani latihan industri. Graduan pertama ialah pada 1997 seramai 11 orang dan sehingga tahun 2003 jumlah graduan terkumpul seramai 154 orang. Lebih kurang 30% graduan TATI telah menyambung pelajaran ke peringkat Ijazah Sarjana Muda dan yang lebihnya bekerja di kawasan-kawasan perindustrian di seluruh Malaysia di antaranya adalah di Lembah Kelang, Shah Alam, Pasir Gudang, Seberang Perai, dan Kulim. Manakala antara pusat pengajian tinggi yang menjadi tumpuan graduan TATI menyambung pelajaran ialah Universiti Kuala Lumpur (UKL), Universiti Utara Malaysia, Universiti Multimedia dan sebagainya.

Di Malaysia terdapat lebih 500 industri yang bergiat aktif didalam industri pembuatan acuan, walaubagaimanapun sebanyak 70% alatan dan acuan yang diperlukan di Malaysia adalah diimport disebabkan oleh kekurangan tenaga pakar di dalam bidang ini. Sehubungan dengan itu, pada tahun 1994 TATI telah mula menawarkan Program Diploma Kemahiran dengan menjalin kerjasama dengan Institut St.Gallen, Switzerland di dalam bidang Tool And Die Making. Dengan usaha yang gigih oleh kakitangan TATI, program ini telah mencapai akreditasi LAN pada 1999. TATI merupakan salah satu pusat pengajian tinggi yang pertama mencapai akreditasi LAN.

Pengambilan dibuat setahun sekali iaitu sesi Jun. Bilangan pemohon pada sesi lepas adalah melebihi 150 orang, dan TATI hanya mampu menawar seramai 48 orang sahaja.

KONSEP PEMBELAJARAN

Konsep pembelajaran di TATI pada asasnya adalah berdasarkan konsep latihan di Switzerland, 70% adalah praktikal dan 30% teori. Para pelajar akan dilatih secara intensif di dalam bidang pembuatan dan rekabentuk alatan dan acuan oleh tenaga pengajar dari dalam dan luar negara yang mempunyai pengalaman di industri serta mempunyai kelayakan akademik yang berkaitan. Nisbah antara pelajar dengan mesin adalah 1:1 untuk mesin asas dan 4:1 untuk mesin lanjutan.

Pada tahun pertama para pelajar akan diberi penekanan pada kemahiran untuk mengendalikan mesin-mesin asas yang digunakan di dalam bidang pembuatan alat dan acuan seperti mesin kisar (Milling) dan larik (Lathe). Para pelajar juga akan diterapkan dengan pengetahuan-pengetahuan asas di dalam bidang kejuruteraan pembuatan seperti Teknologi Woksyop, Teknologi Pembuatan dan Lukisan Kejuruteraan. Pada tahap ini para pelajar akan membuat alatan-alatan asas yang biasa digunakan di bengkel-bengkel pemesinan.

Pada tahun kedua pula para pelajar akan mula mempelajari mesin-mesin lanjutan yang digunakan didalam pembuatan alatan dan acuan, iaitu mesin kepersisan tinggi seperti mesin canai (Grinding machines) dan mesin Kawalan Nombor Berkomputer (CNC machines). Manakala subjek merekabentuk alatan dan acuan juga diajar bagi memastikan para pelajar bukan sahaja mampu membuat alatan dan acuan tetapi dalam masa yang sama berkebolehan untuk melakukan kerja-kerja merekabentuk. Pada tahap ini para pelajar akan mula membuat acuan-acuan mudah yang biasa digunakan untuk mengeluarkan barangan pengguna.

Pada tahun ketiga, para pelajar akan memantapkan kemahiran mereka di dalam penggunaan mesin lanjutan dengan membuat alatan dan acuan yang memerlukan ketepatan tinggi dan mempunyai nilai komersial. Pada semester akhir para pelajar akan ditempatkan selama lima bulan di industri untuk memberi pendedahan kepada mereka mengenai keadaan industri sebenar.

Prospek graduan program ini adalah sebagai Jurutera Muda dalam sektor pembuatan, "troubleshooting", rundingcara, mereka bentuk acuan dan lekapan.

KEMUDAHAN PEMBELAJARAN

Selain daripada keunikan dan keistimewaan pada konsep pembelajaran, satu lagi kelebihan dan keistimewaan TATI adalah terletak kepada kemudahan yang disediakkan untuk tujuan pembelajaran. TATI menyediakan sebuah bengkel yang mempunyai kemudahan yang lengkap untuk menjalankan program Diploma Pembuatan Alatan dan Acuan. Bengkel ini berkeluasan 5,400 meter persegi yang dibahagikan kepada bahagian-bahagian berikut:-

i) Bengkel tahun 1
ii) Bengkel tahun 2
iii) Tool Room
iv) Bilik QC (Kawalan mutu)
v) Bilik suntikan plastik
vi) Bengkel kerja kepingan logam

Bengkel-bengkel tersebut dilengkapkan dengan 100 buah mesin utama yang terdiri dari berbagai jenis mesin asas seperti mesin larik, mesin kisar, mesin canai hinggalah kepada mesin yang dikawal oleh komputer seperti CNC milling, CNC lathe, CNC EDM/wirecut dan lain-lain. Mesin-mesin yang ada adalah sama seperti mesin yang digunakan di industri bagi memastikan para pelajar didedahkan kepada mesin-mesin sebenar. Kos untuk semua mesin-mesin utama yang ada sekarang adalah berjumlah RM21.5 juta.

Bengkel TATI mampu untuk menampung 100 pelajar dalam satu-satu masa dan biasanya bengkel akan digunakan oleh hampir 200 orang pelajar pada setiap hari.

KAKITANGAN

Bengkel TATI telah diamanahkan kepada kakitangan Program Tool And Die Making (TDM) iaitu salah satu program di bawah Jabatan Program Diploma untuk menguruskannya. Program TDM pada masa kini mempunyai seramai empat belas (14) kakitangan yang bertugas sepenuh masa di bengkel. Kakitangan ini adalah terdiri dari seorang Ketua Program, sebelas (11) orang Pengajar, seorang Mekanik dan dua (2) orang Penyelenggara Stor. Daripada sebelas orang pengajar, terdapat tiga (3) orang tenaga pakar luar negara, iaitu seorang dari Indonesia dan dua (2) dari negara India.

TATI juga bergiat dalam bidang rundingcara dan pembuatan dalam bidang acuan. Sehingga hari ini beberapa syarikat telah menghantar tempahan dan mendapat bantuan rundingcara. Kelebihan ini amat bernilai kepada pelajar TATI untuk mendapat pendedahan alam pekerjaan yang sebenar dan dapat mengeluarkan graduan yang mahir.





___________________________
Terbitan : 17 Februari 2004

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah IT, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : webmaster@tranungkite.net
atau : tranung2000@yahoo.com

Pandangan dalam laman ini tidak semestinya menunjukkan sikap DPPKD
(Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun, Terengganu)