Tranung Kite dot net

SUMBANGAN MEMBANTU LAMAN INI
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696
Nama Pemegangan : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun

Tegur menegur bawa perubahan

Sidang Jumaat yang berbahagia,

Marilah kita sama-sama bertaqwa kepada Allah S.W.T. dengan mengerjakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa itulah orang-orang yang berjaya di dunia dan di akhirat.

Firman Allah di dalam al-Quran al-Karim yang bermaksud: "Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru kepada kebajikan (mengembangkan Islam) dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik serta melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji). "Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya." (Surah Ali Imran:104).

Sidang Jumaat yang dikasihi,

Walaupun manusia adalah makhluk Allah yang dimuliakan di muka bumi ini tetapi ia tidak dapat lari daripada melakukan salah dan silap serta tidak dapat mengelakkan diri daripada lupa. Yang demikian adalah kerana manusia adalah makhluk Allah yang lemah dan tidak sempurna kerana kekuatan dan kesempurnaan hakiki hanyalah milik Allah S.W.T.

Kesalahan yang dilakukan oleh manusia ada masanya membawa dosa kerana ada kaitannya dengan sesuatu perintah atau larangan Allah dan ada kalanya kesilapan dan kesalahan yang dilakukan itu mengakibatkan dosa tetapi merugikan seseorang dalam perjalanannya melalui kehidupan di dunia ini.

Begitu juga dengan tabiat lupa walaupun tidak menyebabkan dosa tetapi sekiranya kerap berlaku boleh merugikan seseorang semasa hidupnya di dunia ini. Disebabkan manusia melakukan kesalahan, terutama yang menyebabkan ia berdosa maka Allah syariatkan taubat sebagai cara membersihkan diri daripada dosa.

Dan Allah ajarkan hamba-Nya amalan maaf memaafi sebagai cara menyelesaikan pertikaian dan permusuhan. Oleh kerana manusia tidak dapat melepaskan diri daripada lupa maka Allah perintahkan hamba-hamba-Nya supaya saling ingat mengingati bagi mengembalikan ingatan hamba-Nya yang lupa.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Tegur menegur dan nasihat menasihati adalah di antara cara-cara membetulkan kesilapan dan tidak ketinggalan juga ingat mengingati sebagai cara memulihkan ingatan. Sebenarnya tegur menegur, nasihat menasihati adalah amalan mulia yang perlu ada pada diri setiap individu muslim.

Selagi amalan itu terus dibaja dan dipupuk di dalam kehidupan umat Islam maka selagi itulah hubungan umat Islam terjalin erat dan akan wujudlah kerjasama yang berterusan sesama mereka. Islam menganjurkan tegur menegur dan nasihat menasihati kerana ia memberi kebaikan dan orang yang ditegur juga turut mendapat kebaikan.

Di dalam hal ini Allah berfirman di dalam Surah az-Zariyat yang bermaksud: "Dan tetap tekunlah engkau memberi peringatan kerana sesungguhnya peringatan itu mendatangkan faedah kepada orang yang beriman." Oleh kerana tegur menegur dan memberi peringatan itu mendatangkan faedah kepada orang yang beriman maka faedah atau kebaikan yang menyeluruh tidak akan menjadi kenyataan sekiranya amalan atau budaya tegur menegur itu tidak meliputi umat Islam keseluruhannya.

Oleh itu, umat Islam tanpa perbezaan warna kulit, pangkat kebesaran, darjah keturunan, bahasa pertuturan dan harta kekayaan perlu menghidupkan budaya yang mulia ini. Bagi menjayakan hasrat itu perasaan malu yang tidak bertempat hendaklah dilontarkan jauh dan sifat sombong serta membangga diri hendaklah dibunuh daripada bersarang di dalam dirinya.

Tetapi hakikat yang sering kita perhatikan bahawa pihak bawahan atau orang yang di bawah tidak menjadi keberatan bagi mereka menerima teguran pihak atasan. Walaupun ada yang degil dan membantah kerana ditegur tetapi lambat launnya menerima juga teguran yang disampaikan kepada mereka kerana menyedari bahawa pihak yang menegur adalah orang-orang atasan yang berkuasa ke atas mereka.

Seorang isteri tertakluk kepada perintah suami kerana suami pemimpin rumahtangga. Oleh itu, apabila suami menegur isteri di dalam sesuatu perkara seperti menyuruhnya sembahyang atau menutup aurat maka tidak menjadi keberatan bagi isteri untuk akur dan menerima teguran suaminya itu.

Seseorang anak apabila ditegur atau diberi peringatan oleh bapanya supaya melakukan kebaikan seperti rajin belajar dan berkawan dengan orang-orang yang baik maka tidak menjadi kesulitan bagi anak untuk melaksanakan teguran dan peringatan bapanya kerana ia sedar sesuatu yang tidak baik akan menimpa dirinya sekirannya teguran itu tidak dipedulikan.

Seseorang pekerja apabila ditegur oleh majikan kerana sering datang lewat ke tempat kerja atau tidak bekerja dengan bersungguh-sungguh akan mudah sedar daripada kesilapannya dan seterusnya tidak menjadi kesulitan baginya untuk membetulkan kesilapan. Ini kerana ia sedar bahawa yang menegurnya adalah majikannya yang berkuasa bertindak ke atasnya yang sudah pasti akan merugikannya.

Begitu juga mereka yang berada di bawah teraju kepimpinan walaupun diperingatkan mana sekalipun akan mudah menerima teguran dan nasihat daripada pemimpin mereka dan seterusnya mengambil tindakan melaksanakan teguran yang dihalakan kepada mereka. Tetapi yang menjadi masalah ialah apabila pihak atasan ditegur oleh pihak bawah.

Umpamanya suami ditegur oleh isteri kerana melakukan sesuatu kesalahan seperti menghisap rokok dengan alasan memudaratkan kesihatan atau isteri menegur suami supaya pergi solat berjamaah di masjid maka belum tentu suami akan menerima teguran isterinya.

Boleh jadi suami akan memarahi isteri supaya jangan masuk campur dengan urusan peribadinya atau sekiranya tidak dimarahi boleh jadi suami akan memberi jawapan yang boleh mengelakkan dirinya daripada melaksanakan teguran isteri tersebut.

Begitu juga apabila pekerja atau kakitangan bawahan menegur majikan atau ketuanya kerana melakukan sesuatu kesalahan maka belum tentu teguran itu akan diterima dengan baik. Kalau tidak kena gaya boleh jadi pekerja atau pegawai bawahan yang menegur itu akan dimarahi atau ditukar ke tempat kerja atau langsung dibuang kerja.

Persoalannya, kenapa susah sangat pihak atasan untuk menerima teguran pihak bawahan. Jawapannya hanyalah kerana di dalam diri orang atasan tersebut adanya suatu penyakit hati yang dipanggil sombong atau takabbur.

Oleh itu, selama mana penyakit sombong ini bersarang di dalam diri seseorang selagi itulah ia susah menerima teguran orang lain walaupun apa yang telah dilakukannya itu tidak membawa kebaikan kepada dirinya tetapi kerana kesombongannya yang tebal menyebabkan ia tidak bersedia menerima teguran orang bawahannya.

Sidang Jumaat yang berbahagia,

Setiap kita ada masanya menjadi orang yang di bawah dan ada masanya menjadi orang yang di atas. Contohnya, ditempat kerja kita menjadi orang yang di bawah kerana ketua kita adalah orang yang di atas tetapi apabila kembali ke rumah kita menjadi orang atasan kerana orang-orang bawahan kita adalah isteri dan anak-anak.

Di tempat kerja, kita adalah orang di atas kerana menjadi ketua di pejabat tetapi di dalam masyarakat kita adalah orang di bawah kerana wakil rakyat atau ketua kampung adalah ketua kita.

Oleh itu, kalau kita suka menegur orang kerana kesilapannya lebih-lebih lagi pada ketika itu kita adalah orang di atas maka yang sebaiknya kita juga hendaklah suka ditegur oleh orang lain tanpa melihat kedudukan dan status orang tersebut.

Jika ini yang dapat kita lakukan maka sikap ini membuktikan kita adalah muslim yang baik dan sempurna imannya kerana di antara tanda-tanda kebaikan orang yang beriman dan beramal soleh ialah tegur menegur ke arah kebaikan.

Sidang Jumaat yang berbahagia,

Marilah kita hidupkan budaya tegur menegur di dalam kehidupan kita yang sementara ini bagi memastikan ianya kenyataan maka marilah kita kikiskan sifat sombong dan takabbur di dalam diri kerana ia adalah penghalang kepada hasrat dan cita-cita murni kita untuk menjadi umat Islam yang suka menyukai saudara-saudaranya melakukan amal kebaikan di dalam hidupnya.

Marilah kita bersungguh-sungguh menjayakan amalan mulia ini dan janganlah hanya sekadar memasang angan-angan kerana angan-angan tidak akan membawa kita ke mana-mana.






______________________
Terbitan : 15 Mei 2003

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah Penerangan dan Dakwah, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : webmaster@tranungkite.net
atau : tranung2000@yahoo.com