Tranung Kite dot net

SUMBANGAN MEMBANTU LAMAN INI
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696
Nama Pemegangan : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun

Ingatan untuk jamaah haji tahun ini

KUALA TERENGGANU: Operasi Haji Musim Haji 1423 Hijrah bermula dengan penerbangan pertama ke tanah suci pada 5 Januari lalu dan terakhir dari Malaysia akan berangkat pada 3 Februari ini. Pengarah Lembaga Tabung Haji Negeri (LTH), Haji Tengku Aziz Raja Abdullah berkata, semua penerbangan ke tanah suci berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa (KLIA) Sepang bagi penerbangan dari Kuala Lumpur.

Pada musim haji tahun ini, Lapangan Terbang Subang tidak lagi digunakan untuk operasi haji. Katanya, Hari wuquf musim haji tahun ini dijangka jatuh pada 10 Februari ini. Jamaah haji Malaysia akan mula berangkat pulang ke tanah air pada 18 Februari akan datang dan penerbangan terakhir dari King Abdul Aziz International Airport (KAAIA) Jeddah berlepas pada 18 Mac ini. Beliau berkata demikian ketika membuat satu kenyataan akhbar berhubung dengan Operasi Haji musim ini di sini baru-baru ini.

Menurutnya pada musim haji ini, semua jamaah haji yang akan menunaikan haji pada tahun ini akan dikehendaki mengisi borang permohonon visa haji berserta dua keping gambar berukuran pasport. Jamaah yang telah mendapat tempat di dalam penerbangan musim haji tahun ini diingatkan supaya tidak membatalkan pemergian mereka pada saat-saat akhir tanpa sebab yang munasabah dan boleh diterima oleh LTH .

"LTH akan mengenakan denda sebagai ganti rugi di atas perbelanjaan yang telah dibuat bagi jamaah tersebut," katanya. Di samping ia merugikan visa kerana pihak Kedutaan Arab Saudi tidak akan mengganti visa yang dibatalkan dengan visa baru malah ia juga merugikan urusan persiapan logistik lain seperti tempat di dalam kapal terbang dan perumahan di tanah suci.

Ikuti kenyataan LTH sepenuhnya seperti berikut,

Jumlah keseluruhan hari jamaah berada di tanah suci pada musim ini adalah di antara 40 hingga 45 hari.

Operasi Penerbangan

Pada musim ini jamaah akan dibawa ke tanah suci dengan menggunakan perkhidmatan dari dua syarikat penerbangan iaitu syarikat penerbangan Saudi Arabian Air-lines dan Syarikat Air Asia Sdn. Bhd. Syarikat Saudi Arabian Airlines akan menggunakan dua buah kapal terbang pesawat Boeing 747 siri 100 dengan muatan 444 penumpang manakala syarikat penerbangan Air Asia akan menggunakan tiga buah pesawat Boeing 747 siri 200 dengan muatan 472 penumpang.

Semua penerbangan akan menggunakan lapangan terbang KLIA Sepang di samping lapangan terbang yang lain di Bayan Lepas Pulau Pinang, Senai Johor, Kuching Sarawak dan Kota Kinabalu Sabah. Semua jamaah dikehendaki melapor diri pada waktu dan tempat sebagaimana ditetapkan di dalam surat Jadual Penerbangan Haji masing-masing. Dinasihatkan kepada semua pengiring agar tidak menghantar jamaah beramai-ramai di lapangan terbang demi keselesaan jamaah haji dan agar kesesakan dapat dikurangkan.

Pengendalian Haji

Jamaah haji Malaysia pada tahun ini akan dikendalikan dalam tiga cara:-

¨Pengendalian Haji melalui sistem Muassasah.

¨Pengendalian Haji melalui Pakej Anak Syarikat LTH , THTS Sdn.Bhd.

¨Pengendalian Haji melalui syarikat swasta yang diluluskan oleh LTH. Terdapat 20 buah syarikat pengendali swasta yang diluluskan untuk berope-rasi mengendalikan jamaah haji Malaysia pada tahun ini.

Pakej-pakej yang ditawarkan oleh anak syarikat LTH dan syarikat-syarikat swasta adalah di antara RM- 11.690.00 hingga RM54,000.00 ber-gantung kepada jenis hotel (tempat penginapan) dan perkhidmatan lain yang ditawarkan. Walau bagaimana-pun, LTH tetap akan memantau perkhidmatan yang diberikan oleh syarikat-syarikat berkenaan untuk memastikan segala janji ditunaikan.

Wang Perbelanjaan Haji bagi musim ini adalah RM9,445.00 untuk Semenanjung, RM9,530.00 untuk Sarawak dan RM9,575.00 untuk Sabah. Wang Perbelanjaan Haji pada tahun ini adalah sama seperti tahun sebelumnya tanpa sebarang perubahan.

Perumahan di Tanah Suci

Pada musim ini, LTH telah mengambil inisiatif dan usaha yang tinggi untuk memastikan semua jamaah haji mendapat keselesaan semasa menunaikan haji di tanah suci. Rumah-rumah di Makkah yang disewa oleh LTH pada tahun ini adalah lebih besar, lebih baru dan mempunyai jumlah lif yang agak mencukupi berbanding rumah-rumah pada tahun sebelumnya. Semua jamaah akan diperuntukan dengan keluasan 3 meter persegi berbanding 2.5 meter persegi pada tahun sebelum. Semasa di Makkah, jamaah akan dibekalkan dengan katil satu tingkat, tilam, bantal, dan cadar. Jarak maksimum rumah dari masjidil Haram Makkah adalah 800 meter.

Manakala di Madinah, demi keselesaan dan kebajikan jamaah haji, LTH telah membuat persiapan dengan menyewa rumah-rumah yang lebih dekat jaraknya dari masjid Nabawi. Jarak maksimum dari masjid Nabawi ialah 500 meter walau bagaimanapun, pada tahun ini LTH telah menyewa rumah-rumah pada jarak paling jauh 250 meter sahaja dari Masjid Nabawi.

Semua rumah ini adalah rumah yang besar dan terletak di jalan-jalan yang besar dan mudah dilihat dan tidak lagi di lorong-lorong kecil yang menyukarkan jamaah berulang-alik dari rumah ke masjid. Keadaan ini akan menyenangkan jamaah dan mengurangkan kadar jamaah sesat semasa di Madinah.

Di setiap maktab di Makkah (perumahan jamaah), LTH menyediakan sejumlah petugas untuk membantu jamaah sepanjang masa mereka berada di sana. LTH akan menghantar rombongan petugas kebajikan dan perubatan seramai 711 orang petugas untuk berkhidmat kepada jamaah haji pada tahun ini.

Daripada 256 petugas perubatan, akan terdapat 4 orang doktor pakar, 39 orang doktor lelaki, 6 orang doktor wanita, 62 orang pembantu perubatan dan 69 orang jururawat terlatih. Selain daripada itu, petugas keba-jikan akan terdiri daripada 257 orang petugas kebajikan, 43 orang guru agama, 120 petugas katering dan selebihnya tugas-tugas lain.

Di tanah suci, selain daripada klinik-klinik yang dibuka di setiap maktab, LTH juga menyediakan kemudahan hospital dan klinik seperli berikut:-

1. Hospital Malaysia Aziziah, Makkah: 60 katil

2. Klinik Malaysia Syisya Makkah: 100 katil

3. Klinik Malaysia Madinah: 16 katil

4. Klinik Bergerak semasa Arafah dan Mina

LTH tetap akan berusaha membawa semua jamaah haji berwuquf di Arafah termasuk jamaah haji yang sakit tenat di hospital tetapi sedarkan diri. Jamaah ini akan dibawa berwuquf dengan menggunakan ambulan. LTH mempunyai 17 buah ambulan. Dalam pada itu, jamaah haji akan disajikan dengan makanan masakan ala Malaysia sebanyak dua kali sehari iaitu makan tengah hari dan makan malam.

Jemaah haji juga dibekalkan dengan air panas dan pek minum pagi. Untuk kepuasan hati jamaah, menu makanan akan diubah setiap hari dan jamaah hanya akan menemui menu yang sama selepas tempoh seminggu. LTH juga akan membentuk satu Jawatankuasa Kualiti Makanan yang terdiri daripada petugas LTH dan jamaah haji untuk sentiasa memastikan kualiti makanan dan keberkesanan sistem agihan makan yang dijalankan.

Persiapan Kesihatan Jemaah

Pemeriksaan kesihatan sebelum keberangkatan ke tanah suci bagi jamaah haji yang berusia 60 tahun ke atas diwajibkan sebanyak dua kali, iaitu pemeriksaan kali pertama dalam tempoh 6 bulan sebelum berangkat dan pemeriksaan kali kedua dalam tempoh 3 bulan sebelum berangkat.

Semua jamaah diwajibkan mengambil suntikan vaksin meninggococal meningitis quodrivalent ACYW 135 sebelum berangkat. Suntikan boleh dibuat di semua hospital kerajaan secara percuma. Semua vaksin yang dibekalkan oleh pihak Kementerian Kesihatan adalah halal di sisi syarak.

Operasi Arafah dan Mina

Aktiviti kemuncak operasi haji adalah wuquf di Arafah. Kemungkinan pada musim ini penempatan jamaah haji Malaysia akan berubah tempat. Ini adalah bagi tujuan melancarkan pergerakan jamaah haji dari Arafah ke Muzdalifah dengan sistem ulang alik.

Pada tahun ini, buat pertama kalinya sistem ini digunakan untuk memastikan jamaah haji dapat bermalam di Muzdalifah sebelum berangkat ke Mina selepas Muzdalifah. Jamaah haji dinasihatkan untuk memberikan kerjasama kepada pihak Muassasah dan petugas LTH untuk menjamin operasi ini berjaya dan berjalan lancar. Jamaah haji dinasihatkan tidak membawa beg-beg yang besar semasa ke Arafah dan tidak berebut-rebut semasa menaiki bas dari Makkah ke Arafah atau Arafah ke Muzdalifah dan ke Mina.

Operasi Balik ke Tanah Air

Operasi Balik jamaah haji akan bermula pada 18 Februari ini. Jamaah akan pulang mengikut jadual yang telah ditetapkan. Dalam hal ini, jamaah boleh menggunakan Jadual Penerbangan Haji yang telah dihantarkan kepada mereka sebagai panduan untuk mereka merancang kepulangan ke tanah air.

Bagi memastikan keselesaan jamaah haji yang bakal pulang ke tanah air, LTH menyediakan satu kompleks yang lengkap dengan kemudahan yang perlu untuk menempatkan sementara jamaah haji semasa menunggu penerbangan mereka di Jeddah. Di kompleks inilah jamaah haji akan diberikan tempat tidur (berehat) di samping makan dan minum, sementara mereka menunggu penerbangan untuk pulang ke tanah air. Jamaah akan menjalankan urusan timbangan dan check-in bagasi, mene-rima tiket penerbangan di sana.

Penambahbaikan Operasi

LTH akan membekalkan bantal angin kepada semua jamaah Muassasah untuk digunakan semasa di Arafah dan Mina untuk keselesaan jamaah. Beg galas yang dibekalkan oleh LTH pada tahun ini adalah beg jenis beroda yang memudahkan jamaah. LTH akan memperbanyakkan lagi poster dan tunjuk arah kepada jamaah di semua lokasi bagi membolehkan jamaah membuat rujukan dan mengurangkan kemungkinan jamaah haji sesat jalan.

LTH akan juga menyediakan kemudahan ziarah ke tempat-tempat menarik dan bersejarah di tanah suci Makkah sebelum wuquf kepada jamaah yang berminat. Bayaran akan dibuat oleh jamaah haji sendiri kerana ini adalah perkhidmatan sampingan. Perkhidmatan tambahan dengan bayaran minima ini dianjurkan sebagai nilai tambah bagi menjamin kepuasan hati jamaah. Perkhidmatan ziarah luar di Madinah akan dijalankan seperti tahun-tahun sebelum. LTH akan menyediakan kemudahan pencucian pakaian (laundry) di sesetengah bangunan yang disewa di Makkah melalui syarikat pembekal tempatan dengan bayaran yang berpa-tutan. Kemudahan ini akan mengunakan wang syiling Saudi.

Pasukan Peronda Khas di Mina akan ditubuhkan bagi membantu jamaah semasa di Mina. Kumpulan atau pasukan ini akan bergerak di semua tempat dan sudut bagi membantu jamaah terutamanya membantu menunjuk jalan jamaah yang berulang alik dari khemah penginapan dan tempat melontar (jamarat).

Dengan kerjasama daripada pihak Pos Malaysia, LTH akan menyediakan perkhidmatan penghantaran barang balik ke Malaysia dengan bayaran berpatutan terma-suk perkhidmatan penghantaran air zam-zam dari rumah ke rumah.

Penutup dan Harapan

LTH berharap agar semua jamaah membuat persiapan dan persediaan secukupnya sebelum mereka berangkat ke tanah suci. Di samping mereka harus mengamalkan dan mengekalkan cara hidup sihat malah sentiasa menjaga kesihatan supaya berada pada tahap yang paling baik. Mereka juga hendaklah memahami dengan mendalam hal ehwal ibadat haji terutamanya hukum-hakam penting dalam ibadat haji. Ilmu dan pengetahuan ibadat haji yang mantap akan dapat menjamin kesempurnaan haji yang bakal dilaksanakan.

Di samping itu, jamaah haji juga diingatkan supaya sentiasa mematuhi peraturan perjalanan agar tidak membawa barang-barang larangan seperti bahan api atau letupan, benda-benda tajam, sepanduk dan poster politik termasuk bendera, dan beberapa perkara lain yang dilarang dibawa di dalam pener-bangan.

LTH menjangkakan bahawa suhu di Madinah pada musim haji ini adalah agak sejuk. Ekoran daripada itu, semua jamaah haji disarankan supaya menyediakan pakaian yang agak tebal (pakaian sejuk) sebagai persiapan cuaca sejuk.

Dari segi kesihatan, bagi mengelakkan jamaah terkena penyakit Influenza (selsema), LTH juga menganjurkan supaya jamaah mengambil suntikan anti influenza yang boleh diperolehi di klinik-klinik tertentu pada bayaran yang berpatutan.

LTH sentiasa mendoakan agar perjalanan operasi haji pada tahun ini dapat berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah. Segala perancangan terbaik yang digubal untuk keselesaan jamaah diharapkan dapat dilaksanakan sebaik mungkin demi kepuasan hati jamaah dan yang paling utama agar semua jamaah dapat menunaikan tanggungjawab mereka mengerjakan ibadat haji rukun Islam kelima dan pulang dengan haji mabrur. Insya Allah.






______________________
Terbitan : 16 Feb 2003

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah Penerangan dan Dakwah, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : webmaster@tranungkite.net
atau : tranung2000@yahoo.com