Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite


Datuk Abu Hassan Omar (DAHO) meletak jawatan......

Sila lawat :
Hackerz Paradize

Editor Notes:
Assalamualaikum dan salam sejahtera..

Datuk Abu Hassan Omar (DAHO) meletak jawatan sebagai MB Selangor... sesuatu yang tidak dijangka sebenarnya. Bukanlah mudah untuk seseorang MB daripada BN hendak meletak jawatan dengan alasan ingin menumpukan masa kepada keluarga dan masalah kesihatan.

Ia merupakan alasan yang pertama didengari oleh kami apatah lagi sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Agak lama untuk kami memahami maksud sebenar beliau meletak jawatan. Bagaimanapun kami mengucapkan syabas kepada DAHO kerana memilih meletakkan jawatan biar apapun alasan yang sebenarnya beliau maksudkan.

Bagi orang 'selurus' DAHO, bukanlah tempatnya untuk dia berpencak di gelanggang UMNO. Terlalu banyak pendekar dan tak kurangnya pulak lanun dalam dunia politik tersebut. Pantang silap langkah pasti kecundang. Sedangkan timbalan guru (guru kaka) yang handal itu pun boleh terpelanting, inikan pula DAHO. Tetapi yang pasti tok gurunya tak akan kecundang, mungkin ada ilmu kebal atupun masih menyimpan buah rahsia guru yang tidak diperturunkan kepada muridnya.

Rahsia kehandalan tok guru DAHO itu atau lebih mesra dikenali sebagai Madey sebenarnya terletak kepada dua perkara itulah, kekebalan dan buah rahsia guru, tidak kepada Taming Sari sepertimana Laksamana Tuah dulu. Dengan kekebalan Madey, beliau mampu menewaskan siapa saja hatta para Sultan sekalipun. Segala undang-undang di bawah telapak kakinya, para hakim umpama peon sahaja. Sekali digertak kecut seluruh anggota. Sebelum jawatan melayang, baik buat sahaja.

Buah rahsia guru yang dimiliki oleh Madey ini tak lain dan tak bukan ialah rahsia juga, rahsia peribadi para penyokongnya termasuk si DAHO tersebut. Rahsia itu tentulah yang tidak manis dan mengaibkan yang boleh membuatkan sesiapa sahaja akan melutut menyembah si berhala puaka itu agar tidak mendedahkannya. Oleh itu mereka tiada pilihan lain maka menurut sajalah kehendak si penyimpan rahsia tersebut. Disuruh meletak jawatan pun letaklah, kalau tidak, tak payah ceritalah...

Namun kegagahan dan kehandalan sang guru tersebut hanyalah di gelanggang usang UMNO sahaja, kalau diajak berpencak di gelanggang lain, gelabah tak keruan sekalipun diberitahu jurus-jurus yang akan dilepaskan terlebih dahulu. Itulah yang terjadi seketika waktu dulu bila beliau diajak bertarung dengan timbalan sendiri di mahkamah.

Mungkin beliau telah tersilap mengajar buah rahsia guru kepada timbalannya itu terlebih dahulu sebelum memecatnya. Itu yang menyebabkan tok guru sehebat Madey boleh menjadi sepenakut itu untuk hadir di mahkamah. Namun beliau masih punya satu lagi kekuatan iaitu kekebalan yang membolehkan beliau menumbangkan timbalannya. Itulah yang digunakannya hingga berjaya membenamkan DSAI 15 tahun di penjara.

Sememangnya dunia UMNO dipenuhi oleh segala macam kekalutan, daripada rasuah, salahguna kuasa, iri hati, dendam, hinggalah kepada skandal seks. DAHO dulunya dilantik menggantikan Tyson yang rasuah. Setelah puas disaring kononnya untuk mendapatkan calon yang benar-benar bersih daripada sebarang kekotoran yang biasa terdapat dalam parti tersebut, DAHO itulah yang termampu buat UMNO Selangor, kini ribut pula dengan skandal seksnya.

Tiada apa yang boleh diharapkan oleh orang Melayu dan umat Islam kepada UMNO lagi. Saban hari kita diperdengarkan dengan segala macam haru biru dari parti melayu tersebut. Perjuangan bangsa kononnya kini menjadi perjuangan peribadi. Mereka sanggup saling menikam rakan sendiri untuk melonjak naik ke atas. Untuk apa kalau bukan untuk kepentingan sendiri.

Para penyokong mereka hanya boleh mengigit jari melihat pemimpin yang mereka harapkan berlumba-lumba mengumpul kekayaan melaui projek-projek bumiputera yang sepatutnya diserahkan kepada rakyat. Kalau mendapat habuan pun umpama sisa-sisa makanan untuk kucing peliharaan sahaja. Kepada orang-orang tua di kampung yang menyokong mereka ini atas dasar semangat nasionalis hanya mampu mengorak senyum sumbing bangga tak tentu hala melihat bangunan-bangunan tinggi yang kosong tidak berpenghuni, kononnya kemajuan. Apa yang mereka dapat? Sekadar diajak melancong melihat bangunan-bangunan, tugu dan ceramah setiap 5 tahun sekali sebelum pilihanraya. Selepas itu tinggallah mereka menghitung tahun menunggu wakil rakyat mereka datang menjenguk untuk mengajak mereka melancong lagi.

Menyusur prestasi buruk UMNO tersebut, hampir pasti parti itu akan menjadi bahan sejarah sedikit masa lagi. Umpama dinosour yang pupus itu, kalau tinggalpun mungkin fosil-fosil berupa menara berkembar petronas, mahligai PUTARjaya dan mungkin patung sang guru untuk dikenang.

Generasi pelapis yang diharapkan bukanlah pendekar terbilang yang diasuh dengan kekerasan semangat perwira. Sebaliknya mereka dimanja, dipertahankan dan diberikan kemewahan asal saja tidak melawan orang tua. Semua itu membentuk mereka menjadi pemuda pingitan kalaupun bukan pondan. Kaum wanita mereka pula asyik berantakan sesama sendiri dan janganlah diharapkan untuk membela parti. Mereka umpama anai-anai yang menghuni tunggul reput menanti untuk dihumban ke dalam api.

Sisa-sisa hayat mereka kini amat bergantung kepada guru tua Madey itu yang entah berapa lama akan menongkat dunia lagi. Sebaik sahaja sang guru padam, akan berperang dan berbunuhanlah sesama mereka untuk merebut jawatan yang akhirnya tiada siapa lagi yang akan tinggal. Sedangkan semasa hayat sang guru pun mereka telah berebutan, inikan pula setelah tiada lagi penghalang yang tua bangka itu.

Kepada rakyat yang masih menaruh harapan tinggi kepada parti reput itu, kami nasihatkan kalian agar tidak terlalu berharap. Fikirlah sendiri apa yang akan berlaku dengan prestasi buruk parti berkenaan, dengan pemimpin-pemimpin pelapis sebacul mereka yang sentiasa dimanjakan sebelum ini oleh Madey. Apakah yang boleh diperjuangkan mereka untuk kalian nanti kalau tidak meneruskan tradisi menjual bangsa sendiri untuk terus berdiri dengan parti-parti lain yang mementingkan bangsa seperti mereka dalam komponen BN itu.

Sekian, teruskan perjuangan!!!
ALLAHHUAKBAR!!

110800


        Ke atas

Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranungkite.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com