Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


AL-QURAN KITAB PANDUAN HIDUP

KHUTBAH MASJID NEGARA KUALA LUMPUR

Tarikh Khutbah : 08/12/2000
Tajuk : AL-QURAN KITAB PANDUAN HIDUP

Isi Khutbah :
Oleh: Ustaz Pirdaus bin Haji Ismail

Bertakwalah kepada Allah s.w.t. pada setiap pegangan dan pandangan, sikap dan tutur kata, kerana yang demikian itulah ajaran Al-Quran, ajaran suci dari Allah s.w.t. Jadikanlah AL-Quran itu sebagai pegangan hidup kerana sesungguhnya Al-Quran sajalah satu-satunya perlembangaan hidup bagi setiap mukmin. Al-Quran menjadi ubat dan penawar kepada kesesatan hidup manusia disamping rahmat dari Ilahi. Fahamilah bahawa yang menjadi rugi dan tidak beruntung dengan adanya Al-Quran hanyalah orang-orang yang mengingkari dan tidak mendapat petunjuk daripadanya.

Firman Allah s.w.t. :

Maksudnya: Sesungguhnya Al-Quran ini memberi petunjuk kejalan yang amat betul (Islam) dan memberikan berita yang mengembirakan kepada orang-orang yang beriman, yang mengerjakan amal soleh, bahawa mereka akan beroleh pahala yang besar.

Bersyukur kita kepada Allah s.w.t. kerana masih memberikan lagi kesempatan kepada kita untuk hidup di bulan Ramadhan Al-Mubarak ini. Bulan yang dibuka seluruh pintu syurga, ditutup pintu-pintu neraka serta dibelenggu para syaitan. Bulan yang di dalamnya terdapat satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan, bulan yang diturunkan kepadanya segala ajaran dari langit kepada para rasul dan anbiya' termasuklah kitab suci Al-Quran Al-Karim yang diutuskan melalui nabi Muhammad s.a.w.

Sebagai memperingati Nuzul Quran pada tahun ini iaitu pada tanggal 17 Ramadhan, mimbar ini mengambil kesempatan mengajak muslimin dan muslimat sekalian untuk sama-sama meningkatkan lagi ketakwaan kepada Allah s.w.t. dengan berusaha melaksanakan kehendak dan isi Al-Quran yang telah diturunkan oleh Allah s.w.t lebih dari seribu tahun yang lalu itu, agar yang demikian hati-hati kita bertambah lembut serta khusuk kepada Allah s.w.t disebabkan Al-Quran.

Yang bermaksud: Belum sampaikah lagi masanya bagi orang-orang yang beriman, untuk khusuk hati mereka mematuhi peringatan dan pengajaran Allah serta mematuhi kebenaran (Al-Quran) yang diturunkan (kepada mereka)? Dan janganlah pula mereka menjadi seperti orang-orang yang diberikan kitab sebelum mereka, setelah orang-orang itu melalui melalui masa yang lanjut maka hati mereka menjadi keras, dan banyak di antaranya orang-orang yang fasiq-derhaka.

Al-Quran adalah kalam Allah diturunkan melalui nabi Muhammad s.a.w. pembawa amanat yang jujur dan tanggungjawab. Al-Quran yang dibawa mengamdungi undang-undang dan petunjuk bagi umat Islam dalam mengatur tujuan hidup dan kehidupan sejagat.

(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadhan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekelian manusia dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk, dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. (al-Baqarah: 185)

Cahaya AL-Quran telah menyinari seluruh pelusuk dunia, bukan sahaja sebagai petunjuk dan pedoman hidup bagi peribadi yang menghendaki ketenteraman, kedamaian dan kebahagiaan, tetapi juga memberikan petunjuk dan pedoman mengenai sistem berkeluarga, bermasyarakat bahkan bernegara. Firman Allah s.w.t:

"Tidak kami lupakan sesuatupun di dalam kitab"

Pernah suatu ketika seorang sahabat Rasulullah s.a.w. Abdullah bin Abas r.a. pernah berkata maksudnya: Kalau sekiranya tali unta hilang daripadaku, nescaya aku akan dapatkannya di dalam Al-Quran. Al-Imam Syafie berkata di dalam kitab (Al-Risalah) maksudnya: Setiap peristiwa yang terjadi pada diri seseorang muslim pasti akan didapati dalil/alasan dan petunjuk di dalam Al-Quran untuk penyelesaian. Manakala Al-Imam Ghazali pula berkata di dalam kitabnya Ihya Ulumuddin "Segala macam ilmu pengetahuan, baik yang terdahulu, yang sekarang juga yang akan datang, semuanya berpunca dari Al-Quran". Inilah Al-Quran dan inilah qalam dan wahyu Allah. Ia diturunkan oleh Rasulullah s.a.w. kepada kaum muslimin untuk diikuti dan dipatuhi. Sabda Rasulullah s.a.w.

Maksudnya: Telah aku tinggalkan kepadamu perkara yang apabila kamu tetap berpegang teguh kepadanya, kamu tidak akan sesat selama-lamanya, iaitu kitab (AL-Quran) dan sunah Rasulnya.

Sejarah telah membuktikan bahawa sejak Al-Quran diturunkan pada malam 17 Ramadhan di Gua Hira' 1400 tahun yang lalu. Kitab suci ini telah berjaya mengubah manusia yang dikenali sebagai umat Jahiliyah yang hidup tanpa sebarang peraturan dan sistem akhlak hingga menjadi umat yang terbaik dan dicontohi dalam segala bidang. Hal ini telah dibuktikan sendiri oleh Rasulullah s.a.w. Selama 23 tahun beliau memimpin umat Islam berpandukan Al-Quran, Islam telah menjadi agama yang kuat dan dinamik. Ajarannya amat bersesuaian dengan fitrah kejadian manusia. Bukan setakat mampu membangunkan kekuatan rohani malah juga menggerakkan secara aktif kekuatan fizikal dan material umat. Sehingga umat Islam pada zaman kepimpinan Rasulullah s.a.w. dan dizaman kepimpinan khalifah Al-Rashidin berjaya mencipta satu tamadun baru kepada dunia. Tamadun yang berasaskan kepada kekuatan aqidah, ilmu, akhlak dan amal sehingga berjaya meruntuhkan 2 tamadun besar dunia pada ketika itu iaitu tamadun Rom dan Parsi. Tamadun yang berasaskan syirik kepada Allah dan bergantung kepada kekuatan meterial semata-mata, tamadun yang tidak mempedulikan fitrah manusia yang ingin keamanan, keadilan dan hak-hak mereka sebagai hamba Allah diatas muka bumi ini.

Maksudnya: Dan kami turunkan dengan beransur-ansur dari Al-Quran ayat-ayat suci yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman, dan (sebaliknya) Al-Quran tidak menambahkan (apa-apa) kepada orang yang zalim (disebabkan keingkaran mereka) melainkan kerugian semata-mata. (Surah al-Isra': 82)

Dalam memahami ayat-ayat itu Imam Muhamad Al-Razi dalam tafsirnya "Al-Fakhul al-Razi" menjelaskan bahawa Al-Quran itu adalah penawar yang memang boleh menyembuhkan penyakit rohani dan jasmani. Penyakit-penyakit dibahagikan kepada dua bahagian: Penyakit iktikad yang batil dan sesat dan kedua ialah penyakit akhlak yang buruk. Beliau menjelaskan seterusnya bahawa yang dimaksudkan dengan iktikad yang batil dan sesat itu ialah pegangan yang salah terhadap masalah-masalah ketuhanan, kenabian, atau yang sehubungan dengannya di mana Al-Quran itu lengkap dengan peraturan bagi jalan hidup yang benar, selaras dengan kehendak-kehendak Allah dan nabinya, serta Qada' dan Qadar Allah s.w.t. pada hidupnya ini adalah nyata menjadi orang-orang yang sesat jalan dan mereka inilah yang dimaksudkan sebagai orang-orang yang tidak berpenyakit. Rohani mereka telah rosak dan ubat yang boleh menyembuhkan penyakit seumpama itu ialah Al-Quran. Walau bagaimanapun Al-Quran tidak menjadi ubat bagi orang-orang yang ingkar dan zalim. Sabda Nabi s.a.w:

Maksudnya: Barang siapa yang tidak dapat mengubati penyakit dengan Al-Quran, maka Allah s.w.t. tidak akan menyembuhkan penyakitnya.

Berdasarkan kepada sabda inilah, maka penyakit-penyakit aqidah, keburukkan akhlak dan berbagai-bagai penyakit masyarakat yang lain, seperti tidak amanah, najis dadah dan arak adalah merupakan penyakit-penyakit yang tidak mungkin dapat diubati dengan sebarang cara lain yang ada, selain daripada Al-Quran yang perlu dibaca dan diamalkan. Selagi Al-Quran itu tidak diamalkan dalam erti kata yang sebenar, maka semua penyakit itu tidak akan dapat diubati lagi.

Apa yang harus menjadi perhatian dan pengajaran kepada kita semua ialah andainya AL-Quran yang mengamdungi Wahyu Ilahi itu tidak diambil lagi sebagai pegangan hidup, maka Allah s.w.t. akan menghapuskan dan mengambilnya kembali dari tulisan dan ingatan kita. Sebagaimana ditegaskan oleh Allah s.w.t. di dalam Al-QUran:

Yang bermaksud: Dan sesungguhnya jika kami menghendaki, nescaya kami lenyapkan apa yang telah kami wahyukan kepadamu, dan dengan penyelapan itu kamu tidak akan mendapat seorang pembelapun terhadap kami. (Surah al-Isra': 86)

Dalam persoalan Al-Quran diangkat dari dada dan pengetahuan manusia sehingga mereka tidak dapat beramal dengannya lagi jiga ditegaskan oleh hadisnya Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Umar r.a.:

Maksudnya: Tidak berlaku Qiamat sehinggalah Al-Quran kembali kepada Allah sepertimana ia datang. Kedengaran kepadanya dengungan seperti dengung suara lebah, lantas Allah s.w.t. bertanya kepadanya marah: Kenapakah pula kamu kembali kepadaKu? Maka Al-Quran menjawab: Wahai Tuhanku, daripadamu aku datang dan kepadamu juga aku kembali, aku dibaca tetapi tidak diamalkan, aku dibaca tetapi tidak diamalkan.

Kesimpulannya marilah kita di bulan Ramadhan yang mulia ini, kita bertikad untuk mengembalikan diri kita dan seluruh hidup kita kepada Al-Quran dan sesungguhnya kitab suci Al-Quran itu mempunyai tiga hak yang wajib keatas kita umat Islam untuk menunaikannya iaitu yang pertama, hak untuk membaca dan bertilawah kepadanya. Yang kedua ialah hak untuk bertakbir atau memahami makna dan menjiwai kehidupan dan hak yang ketiga ialah hak untuk beramal dengan seluruh isi kandungannya. Penuhilah masa-masa lapang kita dalam bulan Ramadhan Al-Mubarak ini dengan aktiviti membaca dan bertaddarus Al-Quran kerana Rasulullah s.a.w. dan juga para sahabat baginda, tidak ada satu hari pun dalam bulan Ramadhan ini yang dibiarkan berlalu begitu sahaja tanpa diisi dengan bacaan serta penghayatan Al-Quran.

Bagaimana yang diriwayatkan oleh Ibnu Abas r.a. katanya:

Yang bermaksud: Rasulullah s.a.w. adalah orang yang paling pemurah terlebih-lebih dalam bulan Ramadhan, bulan dimana beliau selalu ditemui Jibrail. Jibrail menemuinya setiap malam bulan Ramadhan untuk bertaddarus Al-Quran.

Al-quran juga bakal menjadi penolong dan syafaat yang besar kepada kita daripada segala azab dan siksaan Allah sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w.:

Maksudnya: Bacalah AL-Quran wahai umatku kerana Al-Quran akan datang pada hari Qiamat memberi syafaat kepada pembacanya daripada kemurkaan dan azab Allah s.w.t.


        
Ke atas    Tarikh Artikal : 22 Disember 2000

Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink
Laman Web : http://tranungkite.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com