Tranung Kite dot net

SUMBANGAN KEWANGAN JIHAD FISABILILLAH
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696
Nama Pemegangan : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun

Pelbagai Kegagalan Melanda Negara

Setelah berhadapan dengan kegagalan beberapa sistem dan dasar yang dilaksanakan sebelum ini, Kerajaan Pusat kini sekali lagi terpaksa mengakui kelemahan pemerintahannya. Secara tersurat mahu pun tersirat, pemimpin negara memperakui bahawa sistem pendidikan kebangsaan yang dilaksanakan sejak sekian lama telah gagal melahirkan pelajar yang kompeten, terutama dalam mendepani arus globalisasi.

Sejak beberapa tahun lalu, negara telah menyaksikan kegagalan dasar penswastaan. Kisah kejatuhan beberapa tokoh korporat ternama yang sering disanjung sebagai usahawan kebanggaan orang Melayu, amat memalukan negara. Mereka dikatakan lambang kejayaan perancangan kerajaan melalui Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan menjadi sumber inspirasi kepada usahawan lain.

Malangnya, satu demi satu mereka itu akhirnya tersungkur. Kerajaan ‘terpaksa’ mengambilalih syarikat-syarikat mereka yang tenat. Syarikat Renong-UEM milik seorang Tan Sri, diambilalih kerajaan bersama tuntutan hutang RM16 bilion.

Seorang lagi Tan Sri diselamatkan oleh kerajaan dengan pembelian semula saham Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) yang dikuasainya pada harga RM8.00 seunit. Sedangkan harga pasaran bagi saham berkenaan hanyalah RM3.68 seunit. Cerdik lah tu konon!

Kerajaan juga, melalui Syarikat Prasarana Nasional Bhd (SPNB), anak syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan, mengambilalih seluruh aset serta operasi Sistem Transit Aliran Ringan Sdn Bhd (STAR) dan Projek Usahasama Transit Ringan Automatik Sdn Bhd (PUTRA). SPNB telah membeli hutang STAR dan PUTRA berjumlah kira-kira RM5.5 bilion menerusi terbitan bon bersiri berkadar tetap kepada peminjam kedua-dua syarikat itu.

Itu hanyalah dua-tiga contoh daripada puluhan lagi bukti kegagalan dasar penswastaan. Dasar yang dilaksanakan kononnya dengan tujuan menjimatkan kos pengurusan kerajaan dalam beberapa perkhidmatan awam tersebut, akhirnya memaksa kerajaan berbelanja lebih banyak untuk menyelamatkan keadaan. Dasar yang kononnya bertujuan melahirkan usahawan dan jutawan Melayu, tetapi sebaliknya mewujudkan ‘budaya tongkat’ yang akhirnya dicemuh oleh pengilhamnya sendiri.

Awal tahun ini, timbul pula cerita semakan semula Sistem Saraan Baru (SSB). Memang, sejak mula dilaksanakan pada 1 Januari 1992, SSB, yang juga diterjemahkan sebagai ‘Skim Suka Bodek’ itu banyak menimbulkan kontroversi. Ia dianggap tidak telus dan terdedah kepada salah guna kuasa. Antara pihak yang tidak senang dengan pelaksanaan SSB ialah Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) sendiri.

Akhirnya, selepas lebih sedekad ianya dilaksanakan, minggu lalu kerajaan tampil dengan sistem penggajian baru yang dinamakan ‘Sistem Saraan Malaysia (SSM)’. Secara tersirat, kerajaan memperakui SSB telah gagal! Sejak beberapa bulan lalu, satu demi satu kes penyelewengan pengurusan dana awam didedah dan dihebahkan. Mula-mula cerita Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), sebuah badan yang dipertanggungjawabkan untuk meningkatkan taraf hidup rakyat miskin.

Badan Pencegah Rasuah (BPR) telah menyiasat AIM sejak tahun 2001 selepas menerima laporan Bank Negara Malaysia selaku badan kawalselia pengurusan badan berkenaan. Pengurusan AIM dipercayai menyalurkan berpuluh juta ringgit dari akaun dana Sahabat AIM untuk kegunaan pentadbirannya.

Penyaluran wang

Transaksi secara tidak sah yang dipercayai dilakukan sejak beberapa tahun lalu itu didapati melanggar syarat penggunaan dana AIM yang sepatutnya dikhususkan untuk membantu penduduk miskin. Kesan penyelewengan itu menyebabkan operasi AIM menghadapi pelbagai masalah, termasuk menanggung hutang lapuk lebih RM40 juta sejak 1997.

Belum pun reda hal itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri pula mengakui Tabung Haji kehilangan RM200 juta menerusi pelaburannya dalam sebuah syarikat pengurus dana. Ogos tahun lepas Tabung Haji juga mengalami kerugian lebih RM8 juta apabila wang simpanan dalam beberapa akaun pendepositnya hilang, dipercayai dikeluarkan secara tidak sah oleh bukan pemegang akaun berkenaan.

Kes penyelewengan Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) juga mendapat liputan meluas pihak media. Menteri Pembangunan Luar Bandar pada 23 Oktober 2001 mendedahkan telah membuat dua laporan polis berhubung penipuan pelaburan berjumlah RM40 juta membabitkan pelaksanaan PPRT. Satu laporan berhubung penipuan pengurusan juga telah dibuat kepada BPR. Bekas menteri berkenaan sendiri adalah antara yang turut disoal-siasat. Ke mana perginya dasar "Bersih, Cekap, Amanah" yang sangat diuar-uarkan sebagai slogan perkhidmatan sebelum ini?

Terbaru ialah pendedahan Perdana Menteri mengenai ekstremisme berasaskan kaum di kalangan generasi muda negara ini yang menurut beliau semakin serius dan membimbangkan. Beliau berkata, keadaan itu amat berbeza berbanding sebelum ini apabila penduduk daripada berlainan kaum dapat bercampur antara satu dengan lain. Itu menunjukkan bahawa dasar negara mengenai perpaduan kaum dan integrasi nasional juga telah gagal.

Dalam dunia pendidikan pula, sebelum ini isu akhlak dan moral pelajar banyak diperkatakan. Maka, sebahagian kegagalan itu dipersalahkan kepada guru agama yang kononnya tidak iltizam dengan tugas mereka. Kini, bila timbul isu kelemahan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan siswazah Melayu, guru-guru subjek Sains dan Matematik pula yang terpaksa menerima akibatnya. Apa pun, yang jelas ialah setelah puluhan tahun dasar pendidikan kebangsaan dilaksanakan, hasilnya ialah kelemahan dan kegagalan.

Habis, kalau itu gagal ini gagal, apa lagi yang boleh diharapkan oleh rakyat kepada mereka itu? Cekok ke hebat sangat bunyi? Cheh!






______________________
Terbitan : 10 Sept 2002

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah Penerangan dan Dakwah, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : webmaster@tranungkite.net
atau : tranung2000@yahoo.com